Bismillah.
Dari perspektif Islam kesihatan dilihat sebagai salah satu rahmat yang paling besar yang telah Allah kurniakan kepada manusia. Kesihatan merupakan satu rahmat terbesar selepas nikmat iman.
Namun begitu, kita sering mengambil mudah atas anugerah Allah yang satu ini. Kita sering mengabaikannya kerana kita sering merasakan bahawa diri kita sudah sedia 'sihat'. Kita sering memberi alasan, "Aku masih muda".
Pengambilan makanan yang kurang/tidak sihat, tidak halal, tidak suci, sembelihan dan cara menyediakan tidak patuh syariah, memudharatkan, makan secara berlebihan, tidak bersenam (malah tidak bersolat) dan sebagainya. Ini menyumbang kepada tubuh badan yang tidak sihat dan lemah secara lahiriah mahu pun secara batin. Sedangkan orang Mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah s.w.t daripada Mukmin yang lemah.
Kita perlu bersyukur kepada Allah swt kerana telah menganugerahkan kesihatan yang baik, dan kita sewajarnya mencuba yang terbaik untuk menjaga amanah ini. Allah telah mengamanahkan kepada kita dengan badan kita. Sepertimana kata-kata yang baik, ucapan yang baik, tubuh badan kita juga akan dipertanggungjawabkan ke atas kita untuk menjaganya dan menggunakannya dengan baik.
Sabda Nabi s.a.w dengan maksud: Tidak akan bergeser kedua Kaki Manusia pada Hari Kiamat hingga (ia) ditanya Tentang :
1. tentang Umurnya, untuk apa ia Habiskan?
2. tentang Ilmunya, apa yang telah Dilakukan?
3. tentang Hartanya, dari mana dia Peroleh dan untuk apa ia Belanjakan?
4. tentang Jasadnya, untuk apa ia Gunakan?
(Hadith Riwayat At-Tarmizi)
Pemeliharaan tubuh badan hanya akan diberkatiNya melalui penjagaan kesihatan yang baik. Malah kita juga perlu mengambil langkah untuk mengekalkan dan mempertingkatkannya ke arah kesihatan yang lebih baik.
Dengan penerapan perspektif ini di dalam minda setiap Muslim, kita perlu tindakan yang kondusif terhadap pemeliharaan kesihatan yang baik Hidup yang sihat adalah sebahagian daripada Islam, yang diperkenalkan dengan permulaan Islam lebih dari 14 abad yang lalu. Tambahan pula, al-Quran dan Sunnah menggariskan ajaran yang memberi panduan ke atas setiap Muslim bagaimana untuk melindungi kesihatan dan jalani hidup dalam keadaan bersih lagi suci. Banyak contoh dalam Islam mengarahkan pengikut untuk menjalani kehidupan yang sihat, pilihan diringkaskan di bawah.
AMALAN IBADAH DAN DOA HARIAN
Salah satu doa harian yang boleh diamalkan untuk mendapatkan kesihatan yang optimum. Terdapat juga dalam al-Mathurat.
Apa-apa faedah kesihatan yang diperolehi daripada sembahyang atau apa-apa ibadah lain (puasa) adalah perkara kedua terpenting selain daripada faktor utama kita bersolat dan membuat ibadah lain itu sendiri. Solat wajib dan solat-solat sunat mempunyai kedua-dua bahagian penting iaitu pergerakan fizikal dan konsentrasi mental. Solat wajib dijalankan lima kali sehari pada masa-masa tertentu dalam sehari iaitu solat Subuh, Zohor. Asar, Maghrib dan Isya'. Melakukan solat wajib menyediakan satu cara yang baik untuk peredaran darah, pernafasan dan melembutkan sendi-sendi. Walaupun secara fizikal ia bukanlah seperti mana-mana senaman yang mencabar, kita maklum bahawa apa juga yang dilakukan dengan sederhana dan konsisten adalah jauh lebih baik daripada senaman yang berlebihan.
WUDHUK SEBELUM SOLAT DAN MANDI
Sebelum seorang Muslim melakukan solat mereka, mereka mesti berwudhuk yang terdiri daripada membasuh dan menyucikan dengan teliti bahagian tangan, mulut, hidung, muka, lengan (sehingga ke siku) dan kaki (sehingga buku lali). Ini meninggalkan kesan bersih, segar dan bersedia untuk menghadapi Penciptannya. Ajaran Islam juga mengkehendaki penganutnya untuk membersihkan diri dengan air selepas membuang air kecil atau air besar. Satu lagi ibadah yang juga membantu untuk mengekalkan kesihatan yang baik adalah mandi dan membersihkan diri. Ini adalah wajib apabila seseorang itu dalam keadaan selepas berhadas.
DIET DAN PEMAKANAN
Pelbagai ayat-ayat dan teks dalam Islam menggalakkan Muslim makan makanan sihat sihat dan makan secara sederhana. Allah s.w.t menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran:
Surah al-Baqarah [2:168] Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Surah al-Baqarah [2:173] : Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Diet yang berkhasiat yang sihat juga mesti seimbang. Allah telah memberikan keseimbangan ini melalui ciptaan unsur-unsur di sekeliling kita.
Seperti yang kita tahu, makan berlebihan menyebabkan kemudharatan kepada sistem tubuh badan kita. Banyak penyakit kini berkaitan dengan tabiat makan yang tidak terkawal seperti, kencing manis, penyakit vaskular, strok, serangan jantung dan lain-lain. Telah dinyatakan bahawa 'perut adalah rumah penyakit'. Islam mengajar kita untuk makan secara sederhana.
Surah Taha [20:81] : Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.
Perbuatan memuaskan perut dengan makan secara berlebihan dan membazir dinyatakan lagi dalam hadith Rasulullah s.a.w. dengan maksud:
“Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya”.
(Hadith riwayat Tarmizi, Imam Ahmad, Ibn Majah dan an-Nasai)
Berkenaan dengan hadith di atas, Ibn Qaiyim al-Jauziyah telah menjelaskan di dalam kitab At-Tib an-Nabawi, “Sesungguhnya perut apabila dipenuhi dengan makanan menyempitkan ruang untuk minuman dan sekiranya perut itu dipenuhi oleh minuman, ia menyempitkan ruang untuk nafas dan ketika itu ia terdedah kepada kesakitan dan keletihan. Keadaan seperti ini tidah ubah seperti seorang yang terpaksa memikul barang yang berat dan kesannya menyebabkan kerosakan hati dan mendatangkan kemalasan beribadah. Selain itu, nafsu syahwat berkobar-kobar dan inilah yang sering berlaku apabila kekenyangan menyerang seseorang. Dan sekiranya keadaan ini berterusan, ia sudah tentu memudaratkan, tetapi jika hanya sekali-sekala dibolehkan.
PUASA
Berpuasa di bulan Ramadan dari terbit fajar (subuh) hingga terbenam matahari (maghrib), dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan untuk mengamalkan kawalan diri dan menahan diri dalam semua aspek kehidupan. Dengan kebiasaan ini diharap agar keadaan ini dapat diteruskan selepas bulan Ramadan. Berpuasa di bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk membuang kekotoran dan toksik dalam badan.
Al-Baqarah [2:183] : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Puasa dalam Islam bukan seperti diet mendadak (crash diet), di mana ia adalah mencukupi dalam pengambilan kalori dan tidak melibatkan pemakanan tidak seimbang. Semua makanan adalah dibenarkan untuk dimakan secara sederhana, diwaktu yang dibenarkan syarak iaitu selepas berbuka puasa. Banyak makanan yang diproses yang kita makan mengandungi bahan kimia yang berlebihan disimpan oleh badan kita sebagai toksin dalam sel-sel. Puasa boleh membantu badan kita untuk membersihkan toksin sementara juga membolehkan badan dan sistem pencernaan untuk berehat. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa puasa boleh menurunkan paras gula darah dan kolesterol.
LARANGAN ARAK, DADAH ATAU PERKARA MEMUDHARATKAN
Islam dengan tegas melarang meminum arak dan mengambil ubat-ubatan berunsur dadah untuk sebab yang baik. Memang ia memberi kelegaan dalam tempoh yang singkat. Namun begitu memberi mudharat dalam tempoh yang panjang seperti menyebabkan kerosakan minda, tubuh badan dan struktur sosial masyarakat. Termasuk dalam perkara merosakkan tubuh badan adalah merokok. Sekiranya kita berpegang teguh ke atas apa yang telah disarankan oleh al-Quran dan hadith nescaya kita berubah kepada kehidupan yang lebih sihat dan baik. Allah mengatakan dalam al-Quran:
Al-Maidah [5:90] : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatansyaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Salam sayang,
Sue Aleen
Facebook : Sue Aleen (inbox)
SMS/Whatsapp : +6011-23203480
Email : suealeen@gmail.com
Email : suealeen@gmail.com
Fanpage : Health & Healthy Living
No comments:
Post a Comment