Showing posts with label Adam. Show all posts
Showing posts with label Adam. Show all posts

Monday, March 6, 2017

Tabung Makanan Masjid Al-Falah, Kg Budiman, U14, Meru, Klang

Bismillah.

Seperti kebiasaannya, jadual hujung minggu saya bermula dari Jumaat akan penuh. Penuh dengan aktiviti bersama keluarga. Seringkali saya abaikan keberadaan telefon bimbit saya. Entah di mana letaknya. Adakalanya tidak dihidupkan langsung.

Antara aktiviti terkini yang kami lakukan - mengumpul, membeli dan menghantar barang keperluan harian ke Masjid Al-Falah. Kami bukanlah wakil rasmi masjid berkenaan cuma ingin menyampaikan bantuan kawan-kawan yang mahu memberi.

Saya agak memilih tempat membeli makanan dan keperluan harian ini. Antara ciri pilihan saya:

1) Milik Muslim yang saya kenal peribadinya yang saya tahu siapa yang berkerja dengan mereka.
2) Jenis barangnya dari sumber orang Muslim sendiri dengan niat membantu mereka pula. Antara barang yang saya beli adalah keluaran Peladang. Sudah tentulah hasilnya kembali kepada para peladang yang berkaitan. 
3) Ada resit dengan butiran lengkap sebagai rujukan. Oleh kerana saya menggunakan wang kawan-kawan, sudah tentulah saya perlu mempamirkan butiran kepada mereka. Ini amanah.

Akhirnya saya memilih Bin Waharp's Grocer, milik Telaga Biru, milik Ustaz Zahazan. Pada kedua-dua lawatan adik juruwang bertanya untuk apa. Akak nak berniaga ke? Taklah saya katakan kepadanya. Untuk bagi masjid. Kalau adik nak join sekali jomlah. Manalah tahu dia pun nak tumpang. InsyaAllah segala kebaikan itu tersebar dengan lebih luas.


Pada hari Sabtu, Mastura & kawan-kawan terlebih dahulu ke sini untuk menyusun barang.
   
Tabung Makanan pada 4/3/2017

Tabung Makanan pada 5/3/2017
Tok Siak yang bertanggungjawab menjaga amanah tabung masjid

Semasa di masjid, disapa oleh Tok Siak. Banyak barang yang telah diambil. Betapa cepatnya! Malah sehingga ada yang ambil dan jual. Dikenali melalui CCTV. Nak salahkan pun tak boleh jugak. Tanda berapa ramai yang susah di zaman ini sehingga kesukaran membuatkan mereka melakukan sesuatu di luar batas norma kebiasaan. 

Kita takkan tau apa yang orang alami. So we can't judge!
Sekiranya anda mengenali orang-orang yang memerlukan yang tinggal di sekitar masjid ini, mohon beritahulah dan bantulah mereka. Atau jika anda susah/ditimpa musibah/putus gaji, anda terbaca posting ini, anda malu nak mintak tolong pergilah ke masjid ini. Dari anda memohon pinjaman, lebih baik anda dapatkan bahan makanan dan keperluan di tempat yang sepatutnya.

Saya juga ingin berterima kasih kepada kawan-kawan saya yang baik hati dan budiman. Mudahan kalian murah rezeki, dilapangkan dan dipermudahkan segala urusan, amiin. Terima kasih kerana melalui kalian juga, saya dapat membantu dan melatih pula hati anak-anak saya. Saya cukup-cukup hargai!

Thursday, March 2, 2017

Adam : Demam Viral& Batuk-Batuk Reda Dalam Tempoh 5 Hari

Bismillah.

Lama saya tidak mencoretkan sesuatu di dalam blog ini. Ini adalah kerana, Adam anak kedua saya telah jatuh sakit dari hari Jumaat. Namun, setelah dipantau dari beberapa hari ini, semalam dan hari ini demamnya telah tiada. Malah batuknya juga telah hilang.



Saya telah bandingkan beberapa hari ini dengan situasi sama lebih kurang pada penghujung tahun 2014. Ketika itu Mastura positif denggi. Berdasarkan pengalaman itu kami memantau setiap hari apa yang berlaku pula pada Adam.

Terdapat beberapa perbezaan ketara antara denggi dan demam viral. Paling ketara adalah jumlah hari demam, bagaimana reaksi badan berlaku sepanjang tempoh 5 hari ini dan juga bacaan platelet juga agak berbeza.

Persamaan:

Simptom sama seperti muntah-muntah, demam panas bersuhu tinggi, pening dan sakit kepala.

Perbezaan:

Denggi
1) Demam bersuhu tinggi sebelah siang, kemudian kebah menjelang petang. Namun akan kembali demam pada keesokan harinya. Keadaan ini akan berturut-turut selama 5 hari.
2) Bacaan platelet akan jatuh menjunam.
3) Pesakit akan lemah dan hilang selera makan serta minum.
4) Rasa sengal seluruh badan.
5) Keluar bintik-bintik merah.

Demam viral (dalam kes Adam)
1) Demam bersuhu tinggi berselang hari. Sehari demam, sehari sihat.
2) Bacaan platelet turun juga, namun ia tidak mendadak seperti denggi. Bila naik juga, tidak naik mendadak.
3) Pesakit mempunyai selera makan, boleh minum dan menelan dengan mudah.
4) Berserta dengan batuk dan kahak.

Kebiasaan kami akan memantau dalam tempoh selama 48 jam kerana biasanya anak-anak kami demam hanya 1-2 hari. Jika masih demam/simptom tidak berkurangan, kami akan bawa dan minta untuk ujian darah terus. Bahagian ini janganlah ambil mudah, walau pun anda lebih suka menggunakan bahan sealami mana sekali pun.


Sebenarnya termasuk tahun 2017 ini, Adam hampir 2 tahun tidak menjejakkan kaki ke DEMC untuk mendapatkan rawatan. Tidak pernah makan ubat sintetik juga sepanjang tempoh itu. Alhamdulillah. Kami tidaklah menolak langsung, namun jika diberi pilihan, alami adalah lebih baik namun bukan satu rigidity. Atas pendirian usul fiqh, ambil mudharat kecil berbanding mudharat lebih besar. Situasi boleh bertukar. 

Dari ujian tersebut, kita akan lebih cakna solusi yang lebih sesuai dan menambahkan beberapa rutin mengikut kesesuaian.

Untuk beberapa hari pertama sebelum mengambil ujian darah:

1. Lapiskan 1 titis setiap satu, Thieves, Oregano dan Peppermint di tapak kakinya setiap 15 minit. Kami akan sapukan 'Wellness Blend' di tapak kaki, 'temple', dahi, belakang tengkuknya dengan kerap juga.



2. Lapiskan 1 titis setiap satu Lemon dan Peppermint di sepanjang tulang belakangnya setiap 15 minit. 
3. 'Sponging' dengan campuran Peppermint & V6 di seluruh badan. 
4. Ayah menggunakan teknik Raindrop Therapy yang lengkap untuk keseluruhan badannya selama sejam setengah satu sesi setiap hari. 



Antara teknik dalam RDT - 'Spine Stretch & Shake'

Antara minyak yang digunakan untuk RDT
5. Lapiskan 1 titis setiap satu RC, Dorado Azul, Idaho Blue Spruce, dan Breathe Again Roll-On ke atas dadanya berselang 30 minit. 
6. Diffuse minyak pati secara berterusan. Pilihan kami secara berselang-seli - Basil, Thieves, Oregano, Purification. 
7. Selepas ujian darah dilakukan kami menambah Ningxia Red di dalam rutin Adam. Malah mengaplikasikan Flu roller di dadanya.

Ningxia red mengandungi plum, aronia, ceri, beri biru dan jus & ekstrak delima.
Ia juga mengandungi ekstrak vanila, minyak pati Lemon, Orange, Yuzu dan Tangerine.

Makan minumnya kami pantau dan ingatkannya perlu berbuat demikian dengan lebih kerap. Berselang-seli dalam tempoh 15 minit. Contohnya: 


  • Ambil jus pada pukul 8
  • Makan pada pukul 8.30
  • Minum air lemon pada pukul 9.00
  • Makan semula pada pukul 9.30
  • Minum Ningxia kembali pada pukul 10.00

Antara jus yang saya beli untuknya.
Mengandungi basil/selasih.
Basil mendorong untuk perpeluhan


Bukan makanan berat, cukup sekadar mengalas perut dan menggalakkan pertumbuhan sel baru. 

Suhu badannya menurun ke 37 - 37.5 darjah celsius pada hari ke-3 & ke-5 sehinggalah sekarang. Alhamdulillah. Tapi kami masih mengekalkan regimen di atas kecuali point no. 2-5. Batuknya juga telah reda. 

Sepanjang dia demam, dia tidak ditahan di wad namun kami menjadikan biliknya sebagai bilik isolasi. Ada ketika-ketikanya bila hari dia kebah yang berselang tu, dia akan turun ke bawah dan tetap bergaul dengan adik beradiknya.

Bagaimana pula keadaan adik-beradiknya yang lain? Sepanjang tempoh ini alhamdulillah mereka sihat tidak dijangkiti.

Ubat hospital? Hanya diambil ketika perlu. Bukan tinggalkan terus. Bukan terlalu bergantung pula kepadanya.

Kami mendapati bahawa regim minyak yang digunakan ke atas membantu dan menyokong dengan optimum keadaan tubuh badan Adam ketika dia sakit. Ia tidak melarat, dia masih boleh bangun dan alhamdulillah tidak berjangkit ke adik beradiknya yang lain.

Semoga sedikit-sebanyak yang berlaku pada Adam dapat dijadikan panduan dan bermanfaat, insyaAllah. Dia masih perlu dibawa untuk ujian darah susulan, tapi naluri ibu saya mengatakan bahawa dia sudah sihat kerana hari ini setelah berturut hari demamnya tiada lagi. Tidak lagi berselang seperti sebelum ini.

Adalah penting kita sebagai ibu bapa memantau apa yang sedang berlaku pada anak-anak dan diri kita sendiri. Waspada. Jika mereka tidak sihat usahlah dipaksa mereka untuk ke sekolah. Walau pun ada harinya mereka kelihatan lebih sihat, ia tidak bermakna virus/bakteria telah hilang sepenuhnya. Kuarantin sahajalah. Bila-bila sihat sepenuhnya boleh keluar rumah dan ke sekolah, insyaAllah.

Wednesday, February 22, 2017

Adam : Bengkel Memanah Ulul Albab Feb 2017



Bismillah.

Saya sudah lama mengikuti facebook Ustaz Wan Asrul al-Kalantani. Sangat berminat dengan aktiviti serta status yang dinaikkan beliau. Nak-nak lagi berkenaan dengan kesihatan dan aktiviti memanah serta berkuda. 

Mulanya poster ni lalu-lalang di wall saya. Saya tidak mengendahkan. Kemudian laju saja memberi mesej kepada Ustaz melalui whatsapp. Daftar dan terus bayar. 

Kami tiba seawal sebelum pukul 8. Masih tiada orang. Kami bersarapan dulu. 



Yang membuatkan saya mengambil keputusan segera memasukkan Adam ke kelas ini adalah kerana modulenya. 

PENGISIAN :
1) Teori Memanah.
- Sejarah
- Perihal Sunnah dalam Memanah dan Sunnah Memanah
- Kepentingan mempelajari Sukan Panah Dari Sudut Sains
- Rahsia Memanah Rohani, Aqal & Jasmani
- Perbezaan panah Tradisional & Panah Moden

PENGENALAN :
- Body Endurance
- Body Flexibility
- Muscle Memory

2) Praktikal
- Mengenal Busur
- Mengenal Anak Panah 
- 'Drawing' (Tarikan)
- Jenis-jenis Bidikan panah
- Asas Latihan 'Grouping' ( Sasaran kelompok)
- Asas Latihan 'Targeting' (Sasaran titik) (Perbezaan 'Nazhor' & 'Iktimad')

Allahu Akbar. Yang bagusnya berserta dengan pengisian rohani dan digabungkan pula dengan sains. Harapan saya, anak-anak saya dididik oleh insan yang mulia akhlaknya, elok pekertinya, taat pada Allah. Ini ciri guru yang sangat bagus.

Adam sejenis anak 'the coolest man on earth' kebiasaannya jika dia tidak suka akan sesuatu, dia hanya mendiamkan diri. Tetapi jika suka, dia akan meminta lagi. Dia suka dengan bengkel ini, dia minta nak ke sana lagi. InsyaAllah.


Foto kredit dan diambil dari wall Ustaz Wan


Sekiranya anda berminat untuk mengetahui kelas-kelas yang dianjurkan oleh Ustaz Wan Asrul, anda boleh menghubunginya di facebook atau telefon ke Tuan Fadhil (016-9038954).

🏹LOKASI 🏹:

Pusat Memanah Ulul Albab, D-60(3), Jalan Lengkuas D16/D, Ken Rimba@Rimba Jaya, Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.



Friday, February 17, 2017

Tentang Adam : UPKK & Linus

Bismillah.
Adam & Ayah bersiap-siap untuk ke sekolah dan ke tempat kerja. Rutin pagi mereka memakai minyak seperti Brain Power, Magnify Your Purpose, Believe, Transformation

Beberapa hari lepas sewaktu di meja makan:

Ibu : "Adam besar nanti nak jadi apa?" 
Anak : (senyum) "Ntah la"
Ibu : "Kat sekolah paling minat subjek apa?"
Anak : "Agama"
Ibu : "I think you should proceed with your idea on going to Tahfiz. Sekarang ni pun ada MRSM Ulul Albab" (saya selalu juga menyebut tentang 'asrama' pada anak-anak namun mereka kurang berminat malah Mastura menolak untuk memohon).

Sepanjang saya memasak, dia sering membantu
saya di dapur malah dia juga suka memasak
Dulu dia pernah meminta izin kami untuk benarkan dia ke kelas tahfiz sebelah malam di sebuah masjid tapi kami minta dia berfikir panjang apabila pagi-petang-malam kena belajar. Mungkin nanti dia buat sekerat jalan. Tambah saya tahu dia tiap hari tidur lebih awal pada anak lain. 

Malah dia pernah kata nak jadi doktor. Dari keputusan akhir tahun yang lepas, subjek Sains dan Rekabentuk ketara peningkatan, dari D ke A. Subjek agama alhamdulillah dia cemerlang. InsyaAllah boleh monitor dan bentukkan dari situ.

Selepas 2 hari dari perbualan tersebut, keputusan UPKK (Ujian Penilaian Kelas Kafa, soalannya dikeluarkan oleh JAKIM, amat berguna untuk kemasukan ke sekolah/sekolah berasrama yang berasaskan agama) diumumkan. Hari tersebut sekolahnya mempunyai kokurikulum. Dia tidak mengambil keputusannya. Semakan keputusan boleh dibuat melalui sms sahaja. Jadi si ibu telah terlebih dahulu mengetahui keputusan UPKK. 

Menitis air mata automatik sahaja. Sujud syukur. Mungkin saja manifestasi kepada kegembiraan yang tak terhingga kerna di saat apa yang kami lalui kini, dengan apa yang pernah kami lalui sepanjang proses Adam bersekolah, Allah tahu saja cara untuk menggembirakan hamba-hambaNya.

Adam ini pernah berada di kelas Linus selama dua tahun. Tahun 1 dia berada di kelas 1 Murni (kelas ke-13). Mungkin asbab keletihan dan juga pernah dibuli semasa darjah 1, jiwanya tidak menjiwai perasaan suka untuk ke sekolah pada awal persekolahannya. Dia juga pernah tertidur sewaktu peperiksaan akhir tahun. Akibatnya semasa darjah 2 dia turun satu kelas, kelas 2 Nurani. 

Kami tidak pernah rasa kecil kerana anak kami berada di kelas tersebut. Sebaliknya terbakar jiwa raga untuk melihatnya lebih berjaya. Kerana kami tahu sebahagian proses untuk menjadi orang yang hebat-hebat itu tidak dapat tidak kita perlu untuk GAGAL atau hampir GAGAL. Gagal itu prosesnya.

Bagaimana dengan izin Allah keadaan dari kelas Linus itu berubah, insyaAllah akan saya ceritakan kemudian. InsyaAllah dengan penceritaan itu nanti akan memberi harapan kepada ibu bapa walau anak kita duduk di kelas tercorot, janganlah kita sebagai ibu bapanya berasa rendah diri dan hilang keyakinan kepada anak sendiri. Kena percaya anak kita sangat-sangat istimewa. Dia dilahirkan untuk jadi orang hebat dan perjalanannya tak mungkinlah akan lurus semata-mata.

Baru-baru ini anak saudara saya telah bercerita perihal adik lelakinya sewaktu kecil. Adik lelakinya juga anak kedua sama seperti Adam. Bila ditanya apa cita-cita. Jawapannya tetap tak tahu. Kini adiknya di Kanada menyambung pelajaran dalam bidang Kejuruteraan. Malah mendapat Dean's list pula di sana. Alhamdulillah. 

Agaknya itulah anak lelaki. Omputeh kata 'quite reserved'. Wallahu'alam.

Tapi anak ini ada istimewanya yang tersendiri. Hafazan al-Qurannya lebih banyak. Terang hati orang kata. Juga ada satu gesture dia yang agak lain iaitu sangat empati dan rasa lemah lembut pada ahli keluarga. Dia juga tidak pernah melawan. Tengahari tadi ketika makan kuetiau, tanpa air di depan si ibu, dia menyediakan semug air koko panas kegemaran saya tanpa disuruh. Just the way his father treats me, just the way I like it! Alhamdulillah.

Thursday, February 16, 2017

Cerita Adam Tahun 2006 & 3rd Hand Smoker

Bismillah.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya kenapa begitu ramai kes kanak-kanak yang pneumonia, bronchitis, jangkitan peparu, dll di Malaysia ini. Adakalanya macam bermusim.

Adam sendiri pernah kena di usia 9 bulan. Batuk, berkahak. Pneumonia. Ditahan di hospital. Kena neb. Doktor tanya latar belakang sejarah keluarga. Ya ada yang pernah asthma/lelah di usia kanak-kanak dalam keluarga kami.

Itu kali pertama dan terakhir dia ditahan di hospital atas sebab itu.

Tahun itu tahun 2006. Langsung berderetlah ubat-ubatan diberi. Ventolin tak tinggal. Sehinggalah terjadi satu ketika di bulan Februari 2007. Kami terlupa bawa ubat. Ketika itu kami di Cameron Highland. Dadanya dah semput, nafas sangkut-sangkut. Tapi tak teruk sangat. Tawakal tak ke klinik dan hospital di CH. Bila bawa turun dia dah baik. Baiknya hinggalah sekarang alhamdulillah.

Selepas kali pertama dia dimasukkan ke wad, kemudian dibenarkan keluar, saya terus mencari maklumat untuk mengelak kejadian berulang. Saya dapati berenang boleh membantu dalam kes dia. Pada akhirnya setiap kali hujung minggu kami akan membawanya mandi sungai, kolam dan mana-mana tempat yang ada air. Sehinggalah dia pandai berenang sendiri tanpa ke kelas dan sehinggalah juga tiada lagi kejadian dada turun naik lagi. 

Kalau ditengok pada badannya yang kecil itu macam tak padan pula dia masuk Kelab Sukan Ragbi jika diingat tentang peristiwa tahun 2006 dan 2007. Tapi itulah, dah bertahun dia masuk kelab tersebut. Dan merupakan anak yang aktif dan sihat, alhamdulillah.

Semalam saya terbaca artikel tentang 3rd hand smoker. 3rd hand smoker ini orang yang tidak merokok, tidak juga berhampiran dengan orang yang merokok akan tetapi asap rokok yang ditinggalkan di sofa, di langsir, di rambut dan di mana-mana tempat awam tu, tetap boleh dihidu oleh kita semua. Sama bahayanya sahaja dengan 1st & 2nd hand smoker. 

Ini kebarangkalian besar kenapa anak-anak kecil zaman ini mudah mendapat pneumonia, bronchitis, jangkitan peparu, dll. Anak-anak kecil sedari dalam hari berpantang dibawa keluar dan terdedah kepada persekitaran yang tak sihat. Atau jika tak keluar rumah sekali pun, ada di kalangan dewasa yang merokok atau tidak merokok tetapi membawa 'asap rokok' pada mereka yang menziarahi rumah tersebut. Wallahu'alam.



Perokok Pasif dan Perokok Ketiga menanggung bahaya yang lebih dahsyat berbanding Perokok Aktif kerana:
  • Mereka menyedut lebih banyak toksin dalam asap yang terbebas daripada pembakaran rokok. Di dalam kebanyakkan rokok, terdapat penapis yang menghalang perokok aktif daripada menyedut toksin tertentu.
  • Mereka menyedut asap sisa pembakaran hujung rokok yang mempunyai kandungan agen penyebab kanser (carcinogens) yang lebih tinggi.
  • Asap rokok yang dihembus oleh perokok aktif mempunyai partikel yang lebih halus daripada yang terkandung dalam asap rokok yang disedut oleh perokok aktif. Partikel halus ini lebih mudah diserap ke dalam paru-paru, permukaan kulit dan salur darah.

Mengapakah kanak-kanak kecil lebih berisiko untuk mendapat penyakit akibat ‘Asap Ketiga’?

  • Sistem pernafasan dan sistem imuniti mereka belum matang sepenuhnya.
  • Kanak-kanak kecil lebih berkemungkinan untuk menyedut, menelan dan menyerap melalui kulit sisa-sisa partikel beracun ini semasa mereka meniarap, merangkak atau memasukkan tangan ke dalam mulut.
  • Mereka tidak dapat membuat pilihan atau menyuarakan keengganan mereka untuk tidak berada di kawasan yang tercemar dengan asap rokok atau menolak untuk berada dengan individu yang merokok / dicemari asap rokok. Lebih malang lagi jika individu yang merokok itu adalah ibu bapa atau penjaga mereka sendiri.

Di manakah kemungkinan berlakunya potensi untuk menjadi “Perokok Ketiga” ?

  • Terdapat individu yang merokok dalam rumah yang kita diami atau di dalam kenderaan yang kita naiki.
  • Bilik-bilik hotel yang kita duduki pernah dicemari dengan asap rokok daripada penghuni sebelum ini.
  • Kenderaan-kenderaan awam / sewa yang telah dicemari dengan asap rokok.
  • Ruang-ruang awam yang tidak menyekat aktiviti merokok di kalangan pengunjungnya.

Sama ada secara sedar atau tidak, KITA SEMUA TELAH DAN SEDANG DIRACUNI dengan asap rokok.
Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk memelihara diri anda dan keluarga daripada menjadi MANGSA sebagai Perokok Ketiga :
a) Tidak membenarkan sesiapa merokok di rumah / dalam kenderaan anda walaupun tingkap dibuka.
b) Memastikan sekolah dan pusat asuhan anak-anak adalah kawasan bebas dari asap rokok.
c) Hanya pergi ke restoran dan kawasan awam yang melarang merokok di tempat awam.
d) Mendidik anak-anak untuk menjauhkan diri daripada orang yang sedang merokok.
e) Menegur individu yang merokok di tempat awam / di kawasan larangan merokok dengan berhemah – Ini kerap berlaku di kedai-kedai makan / kenduri-kendara — Lepas kenyang, terus menyalakan rokok tanpa mengambil kira kehadiran orang lain di sekeliling mereka.

Sumber : Root of Science.