Thursday, February 16, 2017

Cerita Adam Tahun 2006 & 3rd Hand Smoker

Bismillah.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya kenapa begitu ramai kes kanak-kanak yang pneumonia, bronchitis, jangkitan peparu, dll di Malaysia ini. Adakalanya macam bermusim.

Adam sendiri pernah kena di usia 9 bulan. Batuk, berkahak. Pneumonia. Ditahan di hospital. Kena neb. Doktor tanya latar belakang sejarah keluarga. Ya ada yang pernah asthma/lelah di usia kanak-kanak dalam keluarga kami.

Itu kali pertama dan terakhir dia ditahan di hospital atas sebab itu.

Tahun itu tahun 2006. Langsung berderetlah ubat-ubatan diberi. Ventolin tak tinggal. Sehinggalah terjadi satu ketika di bulan Februari 2007. Kami terlupa bawa ubat. Ketika itu kami di Cameron Highland. Dadanya dah semput, nafas sangkut-sangkut. Tapi tak teruk sangat. Tawakal tak ke klinik dan hospital di CH. Bila bawa turun dia dah baik. Baiknya hinggalah sekarang alhamdulillah.

Selepas kali pertama dia dimasukkan ke wad, kemudian dibenarkan keluar, saya terus mencari maklumat untuk mengelak kejadian berulang. Saya dapati berenang boleh membantu dalam kes dia. Pada akhirnya setiap kali hujung minggu kami akan membawanya mandi sungai, kolam dan mana-mana tempat yang ada air. Sehinggalah dia pandai berenang sendiri tanpa ke kelas dan sehinggalah juga tiada lagi kejadian dada turun naik lagi. 

Kalau ditengok pada badannya yang kecil itu macam tak padan pula dia masuk Kelab Sukan Ragbi jika diingat tentang peristiwa tahun 2006 dan 2007. Tapi itulah, dah bertahun dia masuk kelab tersebut. Dan merupakan anak yang aktif dan sihat, alhamdulillah.

Semalam saya terbaca artikel tentang 3rd hand smoker. 3rd hand smoker ini orang yang tidak merokok, tidak juga berhampiran dengan orang yang merokok akan tetapi asap rokok yang ditinggalkan di sofa, di langsir, di rambut dan di mana-mana tempat awam tu, tetap boleh dihidu oleh kita semua. Sama bahayanya sahaja dengan 1st & 2nd hand smoker. 

Ini kebarangkalian besar kenapa anak-anak kecil zaman ini mudah mendapat pneumonia, bronchitis, jangkitan peparu, dll. Anak-anak kecil sedari dalam hari berpantang dibawa keluar dan terdedah kepada persekitaran yang tak sihat. Atau jika tak keluar rumah sekali pun, ada di kalangan dewasa yang merokok atau tidak merokok tetapi membawa 'asap rokok' pada mereka yang menziarahi rumah tersebut. Wallahu'alam.



Perokok Pasif dan Perokok Ketiga menanggung bahaya yang lebih dahsyat berbanding Perokok Aktif kerana:
  • Mereka menyedut lebih banyak toksin dalam asap yang terbebas daripada pembakaran rokok. Di dalam kebanyakkan rokok, terdapat penapis yang menghalang perokok aktif daripada menyedut toksin tertentu.
  • Mereka menyedut asap sisa pembakaran hujung rokok yang mempunyai kandungan agen penyebab kanser (carcinogens) yang lebih tinggi.
  • Asap rokok yang dihembus oleh perokok aktif mempunyai partikel yang lebih halus daripada yang terkandung dalam asap rokok yang disedut oleh perokok aktif. Partikel halus ini lebih mudah diserap ke dalam paru-paru, permukaan kulit dan salur darah.

Mengapakah kanak-kanak kecil lebih berisiko untuk mendapat penyakit akibat ‘Asap Ketiga’?

  • Sistem pernafasan dan sistem imuniti mereka belum matang sepenuhnya.
  • Kanak-kanak kecil lebih berkemungkinan untuk menyedut, menelan dan menyerap melalui kulit sisa-sisa partikel beracun ini semasa mereka meniarap, merangkak atau memasukkan tangan ke dalam mulut.
  • Mereka tidak dapat membuat pilihan atau menyuarakan keengganan mereka untuk tidak berada di kawasan yang tercemar dengan asap rokok atau menolak untuk berada dengan individu yang merokok / dicemari asap rokok. Lebih malang lagi jika individu yang merokok itu adalah ibu bapa atau penjaga mereka sendiri.

Di manakah kemungkinan berlakunya potensi untuk menjadi “Perokok Ketiga” ?

  • Terdapat individu yang merokok dalam rumah yang kita diami atau di dalam kenderaan yang kita naiki.
  • Bilik-bilik hotel yang kita duduki pernah dicemari dengan asap rokok daripada penghuni sebelum ini.
  • Kenderaan-kenderaan awam / sewa yang telah dicemari dengan asap rokok.
  • Ruang-ruang awam yang tidak menyekat aktiviti merokok di kalangan pengunjungnya.

Sama ada secara sedar atau tidak, KITA SEMUA TELAH DAN SEDANG DIRACUNI dengan asap rokok.
Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk memelihara diri anda dan keluarga daripada menjadi MANGSA sebagai Perokok Ketiga :
a) Tidak membenarkan sesiapa merokok di rumah / dalam kenderaan anda walaupun tingkap dibuka.
b) Memastikan sekolah dan pusat asuhan anak-anak adalah kawasan bebas dari asap rokok.
c) Hanya pergi ke restoran dan kawasan awam yang melarang merokok di tempat awam.
d) Mendidik anak-anak untuk menjauhkan diri daripada orang yang sedang merokok.
e) Menegur individu yang merokok di tempat awam / di kawasan larangan merokok dengan berhemah – Ini kerap berlaku di kedai-kedai makan / kenduri-kendara — Lepas kenyang, terus menyalakan rokok tanpa mengambil kira kehadiran orang lain di sekeliling mereka.

Sumber : Root of Science.

No comments: