Wednesday, February 15, 2017

Kebersihan, Penjagaan & Bagaimana Minyak Pati Membantu Menyahbau Haiwan Peliharaan


Bismillah.



Dalam riwayat Abu Daud diceritakan dari Kabsyah binti Ka'ab bin Malik (dia adalah isteri dari anak Abu Qotadah). Wanita ini mengatakan bahawa Abu Qotadah pernah masuk ke rumah, lalu dituangkanlah air wudhu' padanya. Kemudian tiba-tiba datanglah kucing. Bejana air wudhu lantas disengetkan, lalu kucing itu minum dari bejana tersebut. Abu Qotadah pun melihat wanita tadi berasa hairan padanya. Abu Qotadah mengatakan, "Apakah engkau hairan (dengan tingkahku), wahai anak saudaraku?" Wanita itu lantas menjawab, "Iya"  Setelah itu Abu Qotadah menyebutkan hadith dari Rasulullah. Rasulullah s.a.w. bersabda:
 "Kucing ini tidak najis. Sesungguhnya kucing merupakan haiwan yang sering kita jumpai dan berada di sekeliling kita." 
(HR. At Tirmidzi, Abu Dawud, An Nasa'i, Ibnu Majah, Ad Darimi, Ahmad, Malik. Shaikh Al Albani dalam Irwa'ul Gholil no.173 mengatakan bahawa haditt ini sahih).


Kucing adalah haiwan yang secara semula jadi bersih, pertama belajar daripada ibu mereka bagaimana untuk menjaga diri mereka. Selepas enam minggu, menjaga kebersihan diri sendiri. 



Walaupun kucing kebanyakannya mampu menjaga kebersihan mereka, namun manusia memainkan peranan penting untuk mereka tinggal dalam keadaan yang bersih dan sihat.

Kucing sangat-sangat mementingkan kebersihan. Malah ia mengambil masa 3 jam untuk 'grooming' (membersih bulu) sendiri.

Kucing akan sering melakukan aksi yang luarbiasa untuk membersihkan diri sendiri. Meliuk-liuk tubuh badannya. Semasa membersihkan bulu sendiri, lidah mereka yang kasar akan merangsang rembesan kalenjar sebaceous untuk melindungi bulu mereka dari terkena air. Jika ada tempat yang tidak boleh dicapai, mereka akan menggunakan 'paw' (tapak kaki) mereka untuk membersihkan kawasan tersebut.

Tidak hairanlah ibu kepada anak-anak bulu, yang kami namakan sebagai Orkid, di rumah ini seringkali menggunakan paw untuk membersihkan kawasan di bawah dagunya.
Walau kucing boleh membersihkan diri sendiri, kita juga berperanan membersihkan mereka dengan membantu menyikat bulu mereka bagi mencegah kekusutan dan hairball. Ia juga membuatkan kita lebih rapat dengan mereka.

Mata dan telinga kucing sangat sensitif. Sentiasa bersihkan bahagian matanya yang kadangkala kotor. Namun telinganya biarkan. Jika mahu dibersihkan bawa ke pakar veterinar.

Pastikan bekas bahan buangan kucing sentiasa mempunyai pasir yang mencukupi. Bersihkan dan tukar pasirnya sekurang-kurangnya sekali seminggu. Basuh dan bersihkan bekasnya dan biarkan kering seketika sebelum digunakan semula.

Kucing secara semulajadi mencari tempat yang tenang untuk membuang air kecil dan air besar. Mereka lebih suka kawasan yang tenang di rumah di mana mereka boleh menggunakan bekas bahan buangan mereka secara peribadi. Jauhkan dari tempat makanan mereka.

Kucing juga amat mementingkan kebersihan bekas makanan dan minuman mereka. Jika tidak bersih, mereka menolak untuk makan atau minum. 

Bagi ruang tidur kucing pula, mereka juga ada tempat pilihan mereka sendiri. Ada yang suka tempat yang hangat, ada pula yang mahu tidur di tempat yang mempunyai pendingin hawa!


BUSUKNYA BAU!

Ada orang kata bau rumah yang ada kucing busuk? Benarkah? Tidak sama sekali jika aspek kebersihan diutamakan. Latihan untuk kucing membuang di tempat yang sepatutnya amat perlu sekali.


Kami menjaga 7 ekor kucing kesemuanya. 4 jantan dan 3 betina. Bukanlah nak bela sangat tapi si induknya, Orkid, datang seolah minta perlindungan ketika dia bunting kali pertama. Dia bertuan. Tuannya seringkali datang mengambilnya di rumah, dan mengurungnya di dalam sangkar. Seringkali ditukar bekas makanannya dia melompat keluar dan lari dengan pantas ke rumah kami. Akhirnya tuan asalnya menghadiahkan Orkid kepada kami.


Minyak Pati Boleh Digunakan Untuk Menyahbau Haiwan Peliharaan

Ini rutin yang kami lakukan tiap hari:


1. Pagi & petang - pasang diffuser di dua tempat. Pilihan kami - Purification dan Joy.

2. Ketika diffuser dipasang pastikan ada ruang untuk kucing meloloskan diri. Jika dia tak suka, dia akan keluar dan tidak akan berada di kawasan tersebut. Namun seringkali pemilihan minyak pati mudah dilakukan kerana mereka sendiri akan menghidu dan menggesel botol atau beg yang mengandungi minyak pati jika mereka suka akan baunya.


3. Pastikan minyak yang dipilih adalah sesuai. Elakkan menggunakan minyak pati yang tinggi kandungan Phenols seperti Oregano dan Thymes kerana ia membebankan hati mereka bagi proses nyahtoksin.

4. Untuk haiwan yang kadangkala terbabas membuang di tempat yang tidak sepatutnya, buat semburan DIY. Semburan DIY ini boleh menggunakan Household Thieves Cleaner + lemon + eucalyptus. Atau boleh gunakan Thieves spray. Sembur di kawasan berkenaan. Jika tidak menggunakan alat semburan, boleh menggunakan bebola kapas, titiskan lemon + eucalyptus di atasnya dan letakkan di kawasan yang sering disinggahi oleh kucing yang terbabas membuang ini tadi.


Hasilnya kami seringkali mendapat kata-kata begini, "Macam tak bela kucing pun". Alhamdulillah.

Selamat mencuba!

No comments: